Thursday, October 29, 2009

Lelaki berdiam diri tanda protes

Email : mohd naim mohd zain

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Pasangan perlu tahu apa masalah belenggu suami termasuk mungkin bosan dengan kerenah isteri

SEORANG wanita yang secara kebetulan bertemu dengan teman lama dan mengetahui rakannya itu sepejabat dengan suami secara spontan bertanya, bagaimanakah sikap suaminya ketika di tempat kerja.

Kata wanita itu, di rumah suaminya seorang yang agak pendiam dan sukar diajak berbual. Malah, sepatah ditanya maka sepatah yang lazimnya akan dijawab oleh suami. Wanita itu mengeluh lagi, katanya, keadaan itu membuatkannya berasa bosan dan ada kala tertekan dengan sikap suami.

Peliknya ketika bercinta dulu, suami rancak bercakap dan pelbagai topik dibangkitkan hinggakan kadangkala dirinya sendiri tidak berpeluang bercakap.

Bagaimanapun, wanita itu mengakui suaminya seorang lelaki yang baik, dan tidak pernah mengabaikan keperluan rumah tangga termasuk tanggung jawab terhadap anak. Cuma yang tidak menyenangkan hati, suami terlalu pendiam dan lebih suka membuat hal sendiri seperti membaca surat khabar, lebih gemar tidur walaupun waktu siang hari atau rajin membasuh kereta selepas berkahwin.

Mendengar segala luahan itu, teman lamanya agak sedikit terkejut. Setahunya, di pejabat suami kepada rakannya itu tidak berhenti bercakap dan ada saja topik yang hendak dibincangkan. Kadangkala, bergurau dan mengusik rakan lain serta rajin juga bergosip sesama teman. Kenapa pula jadi begitu?

Kaunselor berdaftar Universiti Malaya, Hushim Salleh, berkata senario suami menjadi pendiam dalam rumah tangga dan berubah watak apabila berada di luar memang banyak berlaku. Malah, sepanjang mengendalikan kaunseling perkahwinan, masalah seumpama itu adalah antara isu atau konflik rumah tangga yang kerap diluahkan oleh isteri.

Beliau berkata, ada isteri yang mengadu mereka putus asa dan membiarkan suami dengan sikap pendiam asalkan rumah tangga bahagia. Namun, ada juga wanita yang terus bersabar dan terpaksa memendam perasaan serta terus berada dalam keadaan tertekan.

“Berdasarkan kajian kes banyak faktor yang menyebabkan suami menjadi pendiam ketika di rumah dan antaranya ialah tidak wujud lagi hubungan mesra antara pasangan berkenaan seperti mana mereka bercinta dulu.

“Faktor lain ialah timbul kebosanan suami terhadap kerenah isteri yang selalu mengongkong, banyak bertanya dan asyik membebel atau bercakap tidak berhenti-henti tanpa mengira tempat dan keadaan. Untuk ‘melarikan diri’ daripada semua itu dan tidak mahu menimbulkan konflik serta keadaan haru biru, lelaki memberontak atau protes secara diam dengan mengambil sikap mendiamkan diri,” katanya.

Beliau berkata, sikap seperti itu sebenarnya tidak baik untuk hubungan antara suami isteri. Sikap dan tindakan suami itu akan lebih menyakitkan hati isteri yang tidak faham serta tidak tahu apa-apa dipendamkan oleh pasangannya.

Bagaimanapun, Hushim, berkata tidak semua lelaki bersikap seperti itu sebaliknya, ada yang boleh bersoal jawab dan tidak kisah jika pasangannya bertanya apa saja dilakukannya serta mengetahui segala tindak tanduknya.

Begitu pun, beliau berkata, lazimnya antara lelaki dan wanita, pihak isteri sememangnya paling banyak mengajukan pertanyaan. Wanita menganggap dengan bertanya dan bersoal jawab ia sebagai suatu cara untuk mencari jalan penyelesaian. Malah, ada isteri begitu agresif bertanya itu dan ini sehingga terkeluar kata-kata yang tidak elok didengar.

“Selain kedua-dua faktor itu, suami bertukar menjadi pendiam mungkin juga disebabkan ada orang ketiga dalam rumah tangga. Suami bukan takut dengan isteri tetapi mengambil jalan selesa dengan hanya berdiam diri dan membiarkan isteri saja bercakap atau bertanya.

“Suami seperti itu bijak bermain psikologi dan dia tahu, apabila tiba masa isteri akhirnya akan berhenti bertanya apabila soalan diajukan tidak dijawab. Selain itu, ada suami yang bimbang jika dia menjawab maka akan lebih banyak lagi pembohongan yang dibuatnya kepada isteri,” katanya.

Hushim berkata, memang ada suami yang hanya bersikap pendiam di rumah atau bersama pasangan, tetapi tidak bersikap seperti itu ketika berada bersama rakan atau di luar rumah seperti di tempat kerja.

Katanya, suami yang bersikap sedemikian boleh dianggap berada dalam dua dunia berbeza atau bertopeng apabila berada dalam situasi berbeza. Antara alasan diberikan, tiada cerita yang boleh dikongsi bersama atau topik menarik yang perlu dibincangkan dengan isteri. Ada juga yang selamba berkata, ketika bercinta dulu, sudah banyak perkara dibincangkan bersama sehingga tiada ‘modal’ lagi untuk dijadikan bahan perbualan.

“Kata-kata seperti itu silap sama sekali. Selepas berkahwin sepatutnya, lebih banyak yang perlu diperbincangkan dan dirunding bersama kerana tanggungjawab semakin bertambah. Ini termasuklah, cara menguruskan kewangan atau hal pelajaran anak.

“Berbanding ketika bercinta, isu yang dibincangkan tentulah lebih banyak mengenai soal kasih sayang, kesetiaan dan perasaan cinta,” katanya.

Beliau berkata, selain berbincang mengenai isu kekeluargaan dan tanggung jawab, suami isteri juga boleh berkongsi cerita atau meluahkan perasaan masing-masing mengenai hal di luar seperti masalah di tempat kerja atau tekanan dihadapi.

Sebagai contoh, apabila suami bercakap mengenai sesuatu hal seperti masalah di pejabat, isteri sepatutnya cuba menyesuaikan topik itu dan perlu memberi sokongan kepada pasangan. Sebagai wanita, tidak rugi jika sekali-sekala mengalah dan mendengar apa yang dicakapkan suami daripada anda bercakap hal lain.

Pada masa sama, isteri perlu menjadi pendengar yang baik kepada suami dan cuba elakkan banyak menyampuk supaya suami tidak berasa bosan.

Hakikatnya, kata Hushim, sindrom suami menjadi pendiam di rumah tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana konflik seperti itu bukan saja membuatkan rumah tangga menjadi hambar, tetapi turut menyebabkan sehingga berlaku perceraian.

“Lelaki perlu bersikap terbuka dan membuka ruang untuk berkomunikasi selalu dengan isteri. Sikap suami yang terus membisu boleh memberikan tekanan kepada isteri. Malah, konflik yang timbul boleh memberi kesan kepada anak.

“Paling dikhuatirkan, isteri yang dalam keadaan tertekan akan bertindak melampaui batas sehingga bersikap ‘pindah gantian’ kepada anak dan melakukan perkara negatif seperti yang berlaku dalam beberapa tragedi sedih antara ibu dan anak sebelum ini,” katanya.

--Cina Islam

Tuesday, October 27, 2009

Herba: Khasiat Kucing Galak ( Acalypha Indica )

Email : Mohd Shukri Mohamed Talib


Viagra Kucing??

Tanggal malam raya yang ketiga jam 2:54 pagi,sedang kami beramai--ramai melepak kekenyangan selepas acara BBQ iaitu acara tahunan hari raya kami di rumah salah seorang sahabat,tiba tiba terkejut aku melihat sekumpulan kucing yang seolah-olah menghendap kami dari celah celah pokok,atas bumbung dan dari merata arah sambil berbunyi seolah-olah mahu mengawan."ish,takkan kucing-kucing ni jadi Zombie Kampung Dodol kot?"hairan juga aku dengan gelagat kucing-kucing tu.Yang lebih menghairankan aku bila terpandang muka seorang sahabat aku yang agak veteran ni tersenyum.Mesti orang tua ni ada muslihat.

Sambil tersenyum dan berekspressi riak,dia mengeluarkan beberapa anak-anak pokok.
"Hah,kalau hampa nak tau ni lah POKOK KUCING GALAK.Pokok ni memang tumbuh ditepi-tepi jalan ja.Senang ja nak cari,tengok bunga hijau kecik ni.Akaq dia bila kucing-kucing bau,walau dari jauh pun memang depa mai ramai ramai hehehe.Akaq dia jugak adalah ubat,vitamin dan jugak macam tongkat ali untuk kucing-kucing ni."Dan dia menyambung muka riaknya.Kami pun akur dan agak terpegun jugak dengan explaination orang tua ni.Memang kucing-kucing yang menghendap ni kelihatan mahu memakaan akar ini dengan rakus sekali.


Inilah rupa akar yang menjadi ubat dan tongkat ali kepada kucing.

Kemudian,kami pun perlahan-lahan undur dan masuk kedalam rumah untuk memerhatikan gelagat kucing-kucing itu.Bak sekumpulan singa yang mengerumuni seekor rusa yang lemah,kucing- kucing itu berkelahi sesama sendiri untuk merebut 'ubat kuat' itu.Akibat terlalu bising dan sebelum orang kampung bangun dan halau kami dari pulau ni,baik kami halau saja kucing-kucing ni.(tak sempat pulak aku nak ambil gambar)

Inilah hidangan yang berkhasiat untuk kucing.

Sempat lagi kucing liar ni menyambar akar dan cabut lari.

Kata member aku yang riak ni,pokok ni sekarang ditanam secara komersial di negeri Perlis dan dijadikan bahan Kajian (R&D) untuk digunakan oleh manusia pulak.Hmmmm kalau ia terbukti berkhasiat dan tidak memudaratkan kucing-kucing ini,apa salahnya kita pulak cuba.Jangan nanti kita jadi kucing galak selepas makan akarnya sudah.hehehe

--Cina Islam

Wednesday, October 21, 2009

Gempar 35 sejadah berdiri di surau

Warga SK Tok Sangkut di Pasir Mas gempar apabila 35 helai sejadah di dalam surau didakwa berdiri secara misteri dengan sebahagiannya menyerupai individu sedang menunaikan solat.


Kejadian itu disedari seorang murid yang kemudiannya memaklumkan kepada gurunya Adnan Abdullah, 37, ketika sesi pembelajaran dijalankan berhampiran surau berkenaan.

"Kejadian berlaku pukul 10.40 pagi, ketika saya menjalankan sesi pembelajaran di luar kelas disebabkan kelas sedang diubahsuai, seorang murid yang terpandang ke arah surau memberitahu sejadah kelihatan berdiri," katanya kepada pemberita di Pasir Mas hari ini.

Adnan berkata beliau kemudiannya membuka pintu surau dan amat terkejut melihat sebanyak 35 helai sejadah dalam keadaan berdiri iaitu 16 helai di bahagian lelaki dan 19 lagi di bahagian perempuan.

"Lebih aneh lagi apabila satu helai lagi berada di bahagian hadapan sekali iaitu di tempat imam dalam keadaan yang sama menunjukkan seolah-seolah sedang melakukan solat secara berjemaah," katanya yang telah mengajar di sekolah berkenaan sejak tujuh tahun lalu.

Menurut Adnan, beliau percaya kejadian itu membuktikan keagungan Allah yang mahu umatnya bermuhasabah diri.

"Bagaimanapun ia terpulang kepada tafsiran individu, bagi saya tak mungkin perkara ini dilakukan oleh manusia kerana tempoh semua sejadah dalam keadaan demikian lama," katanya.

Beliau berkata pada bulan Ramadhan yang lepas perkara yang sama turut berlaku di rumah penduduk kampung berkenaan apabila sehelai sejadahnya turut berdiri sendiri.

Manakala bagi pembantu penguasa pejabat agama Pasir Mas, Kamarudin Zakaria yang ditemui di situ berkata beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk menggemparkan penduduk setempat.

"Ia terpulang kepada tafsiran setiap individu untuk menganggap ia perkara ajaib atau sebagainya, tetapi bagi saya perkara-perkara sebegini boleh memesongkan akidah seseorang," katanya.

Kamarudin berkata pihaknya akan memaklumkan perkara berkenaan kepada jabatan agama dan jika sejadah masih dalam keadaan demikian sehingga esok, pihaknya akan mengambil tindakan yang perlu.

Sementara itu, kawasan sekolah berkenaan sesak dengan orang ramai yang ingin melihat kejadian itu dari dekat. BERNAMA

HarakahDaily.Net/-

Friday, October 9, 2009

Salah tentukan kiblat ikut arah matahari terbenam


Umat Islam yang menggunakan kaedah menentukan kiblat berpandukan arah terbenam matahari tidak tepat dan salah di sisi Islam kerana hanya dua hari dalam setahun arah kiblat boleh berpandukan kepada matahari terbenam.

Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Paimuzi Yahya berkata persepsi umat Islam dalam menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam itu wajar dihapuskan dan perlu mengikuti ilmu falak syarie sebenar sebagaimana disahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Mengikut kajian ilmu falak, terdapat dua hari iaitu pada 28 Mei dan 16 Julai sahaja dalam setahun, kedudukan matahari terletak di tengah-tengah Kaabah, yang boleh dijadikan panduan untuk menentukan kiblat umat Islam ketika bersembahyang.

"Untuk tujuan itulah ILIM diberi tanggungjawab melaksanakan aktiviti menjurus kepada usaha menghapuskan persepsi salah masyarakat tentang ilmu falak itu mengikut hukum Islam sebenarnya," katanya kepada Bernama selepas menutup Kursus Falak (Qiblat) di Kota Bharu hari ini.

Kursus anjuran Jakim dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK), Jabatan Mufti Kelantan (JMK), Jabatan Agama Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEIAK) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) disertai hampir 100 peserta terdiri kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan.

Paimuzi berkata kebanyakan masjid dan surau dan premis hotel, dan kediaman peribadi umat Islam di negara ini masih tidak menggunakan kaedah yang betul dalam menentukan arah kiblat.

"Jika persepsi yang ini tidak dihapuskan, umat Islam akan terus berada dalam kesilapan hingga ke generasi akan datang.

"Atas dasar inilah kita mahu peserta kursus menjadi perunding atau petunjuk dalam menentukan arah sebenar kiblat, berpandukan ilmu yang diperoleh daripada kursus ini," katanya. Malaysiakini/-

Sunday, October 4, 2009

Ikan Tapah menjadi lagenda orang Lambor, Perak

Inilah rupa ikan Tapah yang menjadi pantang orang-orang Lambor menyentuh dan memakannya. Dikatakan orang Lambor atau keturunanyang memakan ikan ini akan mendapat penyakit gatal tubuh badan. Setakat mana kebenaranya masih menjadi tanda tanya.

15 perkara penyebab bala

Ali bin Abi Thalib r.a, meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa beliau bersabda; "Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:


1.Apabila (Maghnam) harta milik umum atau negara hanya berkisar di kalangan elit tertentu

2. Apabila (aset) amanah dijadikan sebagai habuan diri (ghanimah)

3. Zakat dianggap sebagai beban hutang (diperniagakan)

4. (Kehendak) suami dikuasai oleh kehendak isteri (Queen Control)

5. Anak menderhakai ibunya

6. Tapi ia berbaik-baik (patuh) dengan (kehendak) kawannya

7. Ayahnya (pula) disingkir jauh

8. Rioh rendah dan kecoh di dalam masjid (atas sebab dunia)

9. Yang menjadi ketua sesuatu bangsa adalah orang yang fasiq (jahat dan derhaka kepada Allah)

10. Seseorang dimuliakan kerana (hendak menghindari) kejahatannya

11. Arak menjadi minuman lumrah

12. Sutera menjadi pakaian (golongan lelaki)

13. Golongan artis (biduan) disanjung-sanjung

14. Manakala muzik menjadi budaya pujaan

15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat dan Ulama)

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah (radioaktif dan gas beracun?) atau gempa bumi, tanah jerlus, manusia bertukar sifat (menjadi binatang) ..Dalam hadith riwayat Abu Hurairah mengenai hal ini terdapat tambahan seperti berikut..."dan (Qazafan) tembakan, lontaran (bom?)serta tanda-tanda lain yang datang secara berturut-turut bagaikan butir manik yang terputus benangnya dan jatuh bertubi-tubi satu lepas satu".

(Hadith riwayat Tirmizi)
--Cina Islam

Puasa Enam Syawal Hadiah Ingatan Nabi Muhammad Pada Umatnya

Oleh Ustaz Zainudin Hashim


Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT ke muka bumi ini. Baginda bukan sahaja sibuk dengan tugas utamanya iaitu menyampaikan ajaran Islam daripada Allah kepada umat manusia, malah memiliki sifat-sifat terpuji atau sifat Rabbaniah (ketuhanan dalam diri).

Ini kerana baginda bukan setakat menghubungkan diri dengan Allah (Hablun Minallah) dalam segenap urusan serta tindakannya, malah tidak lupa juga menghubungkan diri dengan manusia sekeliling terutama umatnya (Hablun Minan Nas).

Setiap apa yang diungkapkan oleh baginda, sama ada berupa berita gembira atau berita yang mengancam mereka di akhirat, baginda sentiasa memikirkan agar umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT berupa pahala dan ganjaran yang membolehkan mereka layak memasuki syurga Allah.

Ganjaran setahun dengan amalan puasa enam

Begitulah halnya dengan puasa enam di bulan Syawal, baginda mahukan dari umatnya agar sentiasa peka dalam menambahkan koleksi pahala selepas puasa sebulan Ramadan, kerana bulan yang mulia ini adalah latihan untuk dibuktikan selepas ia melabuhkan tirainya.

Berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal di ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa, ini kerana dalam kalender Islam hanya tercatat 355 hari berbanding bulan Masehi 365.

Kalau seseorang itu melakukan 30 hari puasa Ramadan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, ia bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari di bulan Syawal, ia akan menjadikan 360 hari bagaikan satu tahun pahala berpuasa.

Perkara ini disandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).

Inilah yang dikatakan ingatan Nabi terhadap umatnya, begitulah juga dengan peringkat awal kefarduan solat pada malam Mi’raj ke langit, Nabi kenangkan umatnya yang tidak akan mampu untuk melaksanakan 50 waktu sembahyang hingga bermohon ke hadrat Allah agar dikurangkan hingga menjadi lima waktu sahaja. Itu pun ada di kalangan umat Islam yang tidak melakukan solat fardu lima waktu.

Izin suami penting untuk puasa enam

Walaupun dijanjikan pahala setahun dengan melaksanakan puasa enam Syawal, seorang isteri perlu mendapatkan izin suaminya terlebih dahulu, kerana puasa enam tersebut adalah sunnat, sedangkan mentaati suami yang berkeinginan adalah wajib diutamakan, melainkan suami reda dengan pelaksanaan puasa tersebut.

Apatah lagi jika seorang isteri yang tertinggal puasa Ramadan kerana uzur syar’ie, dia digalakkan untuk mengqada’nya pada bulan Syawal diniatkan untuk qada’ puasa di samping ibadat puasa sunat pada masa yang sama, insya-Allah dengan cara itu dia tidak akan terlepas untuk mendapatkan pahala setahun berpuasa.

Bagaimana dengan sikap kita terhadap baginda Rasulullah?

Kalau disebutkan di atas tadi bahawa, baginda sering mengenang dan mengingatkan umatnya dalam segenap tindakannya, bagaimana pula dengan diri kita yang serba kurang dan kerdil bila berhadapan dengan Allah SWT.

Apakah setiap tindakan, perbuatan, kenyataan, perakuan yang terbit dari diri lidah kita yang tidak bertulang itu memperlihatkan kita benar-benar mengenang dan mengingati Nabi ajaran Muhammad s.a.w.

Benarkah kita mengingati Nabi ketika membuat keputusan mesyuarat tidak sedikit pun menyingung peribadi atau ajaran baginda.

Dalam banyak masalah yang dihadapi oleh umat Islam dalam negara kita hari ini termasuk masalah remaja, mereka jarang sekali menyelesaikannya dengan kaedah yang ditunjukkan oleh baginda menerusi wahyu al-Quran, masalah perzinaan sebagai contoh, bila sabit kesalahan dengan saksi-saksi yang ada, sepatutnya bagi orang yang berzina yang sudah berkahwin direjam sampai mati dan yang belum kahwin disebat, tetapi ajaran Nabi Muhammad ini ditukar kepada undang-undang denda dan penjara.

Adakah tindakan manusia hari ini membolehkan mereka mendapatkan syafaat (recommend) baginda pada hari kiamat sedang baginda sentiasa memikirkan bagaimana untuk umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT?

Tepuk dada tanda iman!
--Cina Islam

Thursday, October 1, 2009

AMALAN TERBAIK DALAM HIDUP

Email : nur suhana hj salleh


1. Sesiapa yang berwuduk saat ingin tidur dan meminta supaya ALLAH berikan kebaikan dunia dan akhirat pasti akan di kabulkan - Tirmizi. Sunat tidur dalam keadaan berwuduk.

2. Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitunganya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.

3. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, insyaALLAH, akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, riak dsbnya dalam dirinya.

4. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

5. ALLAH akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.

6. Sewaktu menghadapi hidangan, Nabi membiasakan diri dengan mengambil makanan yang terdekat, kemudian baru di ambil hidangan yang lainnya sebagai simbolik kesopanan.

7. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insyaALLAH akan di kurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

8. Sesiapa yang berniat mandi (untuk solat jumaat ) kemudian pakai pakaian terbaik & wangian lalu solat jumaat, dosanya akan diampun hingga jumaat berikutnya-Ahmad.

9. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali tiap hari, dengan izin ALLAH dirinya akan lebih dihargai oleh orang lain.

10. Uthman bin Affan riwayatkan bahawa Nabi SAW apabila berwuduk, beliau membasahi janggutnya-Tirmizi

11. Nabi tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, dia makan dan sebaliknya beliau tinggalkan-Bukhari. Apatah lagi jika makanan itu pemberian orang lain.

12. Sahabat meriwayatkan: Aku lihat Nabi SAW makan dengan 3 jari ( ibu jari telunjuk & tengah )-Muslim. Jarang sekali beliau makan dengan 4 @ 5 jari kecuali ada keperluan

13. Menurut Sayyid Ahmad dahlan, sesiapa berselawat walau sekali pada malam jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan ALLAH seperti yang dihadapi oleh para nabi

14. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat tujuh kali pada air dan minum. InsyaALLAH, perut yang sakit atau memulas akan sembuh

15. Perbaharui wuduk tiap kali bersolat krn padanya terdapat banyak fadhilat. Hadith: Sesiapa yang berwuduk dalam keadaan suci, ALLAH catatkan 10 kebaikan baginya-Abu Dawud.

16. Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat tiga kali setiap selepas solat lima waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah

17. Nabi SAW sering menghadap kekanan sedikit setelah solat berjemaah supaya makmum dapat melihat wajahnya. Sebaiknya imam berzikir dan doa seketika bersama makmum

18. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan beselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu

19. Nabi tak makan sambil bersandar-Bukhari. Ertinya, baginda makan dengan duduk condong sedikit ke hadapan bagi elakkan dirinya terlalu kenyang & mudahkan penghadaman

20. Menurut Syihab Ahmad, sesiapa berselawat tiga kali tiap selesai solat subuh, Maghrib dan isyak, ALLAH akan menghindarkannya drp sebarang bencana

21. Nabi sering beristinsyaq air kedalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersihkan, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung

22. Setelah bersolat Nabi memohon ampun ( astagfirullahalazii m) tiga kali-Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari

23. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali tiap hari, ALLAH akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah

24. Apabila Nabi tidur, ia dahulukan mengiring sebelah kanan - Bukhari. Dari segi kesihatan, cara berkenaan baik untuk jantung (yang berada di kiri badan) mengepam darah

25. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan ALLAH segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNYA

26. Tika Nabi tidur, ia membaca surah Al-Ikhlas,Al- Falaq dan An-Naas lalu meniup telapak tangan serta menyapu keseluruh tubuh)mohon perlindunganNYA) - Bukhari

27. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan ALLAH

28. Wuduk dahulu jika ingin tidur sekalipun dalam keadaan junub. Nabi menyarankan, cukup dengan bersihkan kemaluan dan berwuduk tanpa perlu mandi wajib jika ingin tidur

29. Munurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipudaya syaitan yang melalaikan

30. Silangkan kaki jika tidur di masjid. Hadith: Sahabat melihat Nabi berbaring di masjid dgn satu kakinya atas kaki yang lain ( krn bimbang terdedah aurat ) - Bukhari

31. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak tujuh kali selama tujuh Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW

32. Adakalanya Nabi SAW amat menyukai doa-doa yang ringkas (mudah ) - Abu dawud. Baginda mementingkan kualiti doa itu sendiri dengan sedikit tetapi maknanya yang menyeluruh

33. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari

34. Setelah bersolat Nabi SAW mohon ampun ( astagfirullahalazii m ) tiga kali - Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari

35. Nabi seorang yang berpsikologi dalam memberi nasihat. Nabi memilih waktu yang sesuai untuk menasihati sahabat supaya mereka tidak bosan (atau tersinggung) - bukhari

36. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat asar pada hari jumaat, insyaALLAH akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang

37. Menutup mulut dan rendahkan suara tika bersin. Hadith: Apabila Nabi bersin, beliau letakkan tangan atau pakaiannya dimulut ( kerana dibimbangi terpercik ) - Abu Dawud

38. Jiwa yang gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana ALLAH itu Maha Luas rahmatNya

39. Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya - Abu Naim

40. Nabi tidak pernah menolak hadiah. Hadith: nabi selalu terima hadiah & amat menghargainya - Bukhari

41. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, ALLAH akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya

42. Selalu memilih yang lebih mudah. Hadith: Mudahkan sesuatu & jangan kamu sukarkannya - Muttafaq Alaih

43. Berdiri apabila melihat iringan jenazah. Hadith: Apabila kamu sekalian melihat jenazah ( yang diusung ), maka berdirilah ( sbg tanda penghormatan ) - Muttafaq Alaih

44. Ulamak berpendapat, sesiapa yang amalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, InsyaALLAH dihindarkan daripada taun & wabak penyakit berbahaya yang lain

45. Bersujud syukur jika dapat khabar gembira. Nabi sering melakukannya ketikaberoleh khabar yang menyenangkan sebagai tanda syukur hamba terhadap ALLAH - Abu dawud

46. Membaca selawat 1000 kali selepas Solat Hajat dua rakaat mampu meenghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan ALLAH akan hajatnya

47. Beri salam hingga tiga kali sahaja. Bahawasanya Nabi ( apabila mendatangi rumah sahabat ) beri salam hingga 3 kali - Bukhari. Jika salamnya tak berjawab, beliau beredar

48. Menurut para ulamak, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah seban yak 10 kali setiap selesai solat Maghrib

49. Melakukan pekerjaan rumah. Hadith: Bantuan terhadap isterimu itu adalah sedekah-Ad-Dailami

50. Para ulamak berpendapat, ALLAH sempurnakan hajat yang baik dengan senantiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, di ikuti dengan usaha yang berterusan.

--Cina Islam