CAMERON HIGHLANDS, -Mencatat kedatangan pelancong yang menggalakkan meskipun suhunya meningkat dua darjah Celsius sejak 10 tahun lepas.
Ramai yang mengutarakan bahawa Cameron Highlands tidak lagi sesejuk dahulu tetapi daerah yang terkenal sebagai destinasi percutian dan kebun ini menerima kunjungan 692,746 pelancong pada 2008 berbanding 298,284 orang pada 2005.
Pengarah Pelancongan Malaysia Pahang Amran Ariffin berkata, suhu antara 18 hingga 24 darjah Celsius pada masa sekarang di daerah tanah tinggi ini tidak mematahkan hasrat pelawat dengan 282,693 orang berkunjung dari Januari hingga Jun 2009.
Terletak 1,524 meter dari paras laut, tanah tinggi ini boleh dijejaki setelah memandu empat jam dari Kuala Lumpur menerusi Tapah, di Perak.
Selain udara sejuk yang nyaman, bangunan kolonial British dan pemandangan yang menghijau menawarkan panorama yang menarik di samping penduduknya yang bersifat ramah mesra.
TEROWONG MASAPelawat yang berkunjung ke Cameron Highlands mungkin biasa dengan tanah tinggi ini yang mempunyai pelbagai tarikan antaranya ladang teh, ladang strawberi, taman rama-rama, kebun sayur, kedai membeli-belah, kuil dan alam semulajadi di sekitarnya.
Bagaimanapun, tidak ramai yang biasa dengan "Terowong Masa" ataupun lebih dikenali sebagai Galeria Time Tunnel yang mempamerkan koleksi barangan lama dan terletak di lokasi strategik di Jalan Sungai Burung, Brinchang.
Galeri persendirian ini mula beroperasi pada Januari 2007, dibuka dari pukul 10 pagi hingga 6 petang kepada pelawat, dan menempatkan lebih 1,000 jenis barangan dengan maklumat sejarah pembangunan Cameron Highlands sejak dari awal lagi dibingkaikan.
Selain daripada rakaman gambar-gambar pembinaan di sekitar Cameron Highlands, barangan antik berusia lebih 100 tahun yang pernah digunakan oleh pengunjung pada suatu masa dahulu juga menjadi bahan pameran.
Antaranya produk pengiklanan meliputi barangan dengan pembungkusan lama, papan tanda lama, dulang, botol minuman, cermin, basikal, motor dan terdapat juga beberapa sudut yang dibentuk seperti kedai salun lama yang dilengkapi barang-barang era 1910-an, dapur masak dengan peralatan masak antik, bilik tidur dan pastinya akan membuatkan pengunjung mengimbas kisah-kisah silam.
Berkongsi premis dengan kedai strawberi yang membolehkan pengunjung memetik sendiri buah berwarna merah itu, Galeria Time Tunnel dimiliki oleh See Kok Shan, 46, yang bertindak selaku kuratornya.
MILIK PERSENDIRIANMenurut See, hobi mengumpul barang-barang lama itu bermula sejak sedekad lalu dan ia sekadar untuk kepuasan sendiri.
"Mengikut rancangan asal, saya ingin membuka sebuah kafe antik bagi membolehkan semua barang ini dipamerkan. Malangnya, saya gagal mencari lokasi yang sesuai.Setelah berjumpa dengan seorang kawan, kami bersetuju untuk membuka sebuah galeri di Cameron Highlands," jelas anak kelahiran Ipoh, Perak yang membesar di tanah tinggi itu.
Sesuai dengan namanya, Galeria Time Tunnel seluas 7,000 kaki persegi itu terletak di dalam terowong yang sebenarnya berada di bahagian bawah tanah kedai menjual strawberi.
Menurut See selain koleksi barangan antik tersendiri, beliau juga mengumpul bahan pameran daripada kedai-kedai yang menjual barangan terpakai, pasar lambak, kedai antik, orang perseorangan dari seluruh negara dan Singapura.
Sebagai perancangan masa depan, See juga ingin meluaskan galeri itu kepada 50 kaki lagi, dan ingin menghasilkan klip video untuk menerangkan kepada pengunjung tentang galeri dan sejarah Cameron Highlands, selain mewujudkan "seksyen perang" yang merangkumi pendudukan tentera Jepun dan Perang Dunia Kedua.
LADANG PENANAMAN TEH 'BOH'Pelawat ke Cameron Highlands sudah pasti tidak terlepas pandang ladang-ladang teh yang terbentang luas sehingga mewujudkan lanskap alam yang indah mata memandang. Apatah lagi lawatan ke tanah tinggi ini tidak lengkap, sekiranya tidak melawat Ladang Boh Sungei Palas yang merupakan perkebunan teh pertama dan tertua di Malaysia.
Kilang teh yang mula beroperasi pada 1935, terletak pada ketinggian 1,505 meter dengan keluasan 234 hektar itu dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang. Di sini pelancong disajikan dengan cara pemprosesan teh sebelum dipasarkan.
Kini Boh Plantations Sdn Bhd mempunyai empat ladang teh dengan keluasan 1,200 hektar. Ladang di kawasan tanah tinggi adalah Boh, Fairlie dan Sungei Palas manakala ladang teh yang terletak di kawasan tanah rendah adalah di Bukit Cheeding.
Secara keseluruhan, hasil pengeluaran teh dari keempat-empat ladang tersebut adalah sebanyak empat juta kilogram setiap tahun.
MOSSY FORESTSementara itu bagi pelancong yang ingin menikmati pemandangan dari puncak tertinggi, Gunung Irau yang mempunyai ketinggian 2032 meter dari paras laut, terletak di utara pekan Brinchang, Cameron Highlands merupakan destinasi paling sesuai.
Gunung Irau atau lebih dikenali sebagai "Mossy Forest" merupakan salah satu tarikan pelancong yang paling unik kerana ia penuh berlumut dari lantai trek ke puncak pokok.
Keadaan ini menyebabkan suhu di dalam hutan antara 13-17 darjah Celcius dan pemandangan di sekitar hutan ini umpama sedang berada dalam Fangorn Forest dalam filem "Lord of The Rings".
TAMAN AGROTEKNOLOGI MARDITaman Agroteknologi di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) Cameron Highlands, terletak 1,400 meter dari paras laut.
Taman yang pada mulanya ditubuhkan oleh British pada 1925 telah diserahkan kepada MARDI pada 1971 dan dirasmikan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 14 Jun 2003.
Taman seluas 42 hektar itu dibahagikan kepada beberapa kawasan iaitu Taman Inggeris (English Garden), Taman Herba, Taman Orkid, Taman Ros, Pusat Penyelidikan, taman sayur-sayuran, Pusat Maklumat Pelawat dan lain-lain lagi.
Kini terdapat juga taman pokok buah pir, epal dan anggur yang ditanam khas untuk tujuan penyelidikan dan tatapan pengunjung.
Di Taman Inggeris atau English Garden pula terdapat dua rumah kotej British yang dilengkapi segala kelengkapan untuk disewakan kepada para pelancong.
Sementara itu lebih 50 jenis herba tempatan dan luar negara ditanam di Taman Herba untuk tujuan penyelidikan dan pameran kepada pelancong yang bertandang.
Manakala Pusat Penyelidikan MARDI pula memiliki "rumah hijau" yang ditanam pelbagai jenis sayur dan bunga.
Pusat penyelidikan ini juga berfungsi sebagai pusat kajian hasil pertanian dan melindungi tanaman dijangkiti penyakit dan diserang serangga perosak, serta mengkaji teknik pengurusan tanaman baru.
Taman Agroteknologi MARDI dibuka untuk kunjungan pelawat dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad dengan mengenakan bayaran RM1.50 bagi pelajar dan RM3 bagi dewasa.
-- BERNAMA