Dalam dunia perbukuan, tanggal 23 April amat bermakna buat penerbit, penulis dan juga pencinta buku.
Ketika komputer dan Internet merevolusi kaedah pencarian maklumat dan ilmu, buku kekal di sanubari ramai sebagai penyampai khazanah ilmu dan penghibur.
Setiap tahun pada tarikh ini, Hari Buku disambut dengan pelbagai aturcara di seluruh dunia, dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) juga tidak ketinggalan meraikannya esok.
Selain Program 'Mari Membaca 1Malaysia' dan Jualan Buku dari 23 April hingga 25 April di perkarangan PNM, Forum Hak Cipta turut dianjurkan untuk mengingatkan orang ramai akan pentingnya menghormati hak milik karya-karya.
Ketua Pengarah PNM Datuk Raslin Abu Bakar berkata PNM akan sentiasa menyokong usaha meningkatkan dunia perbukuan negara dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai gedung ilmu kepada masyarakat.
Sungguhpun jumlah keahlian keseluruhan daripada 2,429 buah perpustakaan yang ada di negara ini mencecah hampir lapan juta orang sehingga hujung tahun lepas, beliau berpendapat kadar membaca buku dalam kalangan rakyat negara ini masih rendah.
"Kempen galakan membaca masih harus diteruskan agar ilmu pengetahuan rakyat tidak ketinggalan zaman dan dunia perbukuan terus berkembang," kata beliau kepada
Bernama.
Buku tidak akan 'pupus'Tetapi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) banyak mengubah cara menimba ilmu dan buku semakin dipinggirkan.
Mengakui komputer dan Internet banyak mengubah kaedah pencarian maklumat dan ilmu, Raslin berpendapat ilmu yang mantap masih diakui dalam bentuk buku.
Dunia buku dalam bentuk cetakan atas kertas juga masih bertahan meskipun pernah diramalkan akan 'pupus'.
"Budaya membaca buku perlulah diseimbangkan dengan penggunaan ICT. Lonjakan penggunaan ICT pada hari ini membawa saingan kepada buku. Maka, kempen-kempen membaca buku perlu dilaksanakan berterusan untuk menarik minat umum terhadap budaya membaca," ulas beliau.
Menurut Raslin, Malaysia masih memerlukan penerbitan buku memandangkan jumlah penerbitan buku masih kecil dibandingkan jumlah penduduk negara ini. Maka usaha memperbanyak penerbitan buku masih diperlukan.
Beliau mengulas mengenai teknik penerbitan melalui teknologi komputer yang sentiasa berkembang pesat tetapi cepat pula ketinggalan zaman, serta mahal.
"Kerana itulah buku dalam cetakan pada kertas masih bertahan meskipun di negara-negara maju seperti Amerika, Eropah dan Jepun.
"Ia lebih murah, senang dibawa dan senang dibaca berbanding mengakses bahan bacaan di Internet yang memerlukan pelbagai peralatan seperti komputer/komputer riba, sambungan jalur lebar dan lokasi yang bersesuaian. Malah, tidak semua mampu memiliki kemudahan ini," jelasnya.
Penggalakkan penerbit Usaha penerbitan buku harus diperbanyak agar perpustakaan di seluruh negara dapat memenuhi rak-rak dengan buku-buku yang memberikan ilmu kepada para pembaca.
Dalam usaha memperbanyak penerbitan buku yang berkualiti dari segi kandungan dan bentuknya, beliau berharap persatuan-persatuan penulis dapat menghasilkan buku-buku berkenaan yang berbentuk ilmiah.
Beliau turut menyarankan para penulis bekerjasama dengan penerbit-penerbit mapan yang menguasai teknologi penerbitan dan teknik pemasaran yang mantap.
"Bagi menyemarakkan dunia penerbitan, paling utama kita menggalakkan penerbitan buku Bahasa Melayu yang kini menampakkan kehadirannya di rangkaian kedai-kedai buku di seluruh Malaysia.
Malah permintaan terhadap buku-buku dalam Bahasa Melayu di negara ini juga bertambah, iaitu buku-buku umum keperluan di luar sekolah.
"Untuk menjadi negara maju, rakyatnya harus berilmu dan sentiasa mencari bahan bacaan yang boleh meningkatkan pengetahuan.
"Sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 23 April ini, kita berharap kegiatan penerbitan buku akan berterusan. Kita memerlukan buku-buku yang memberi ilmu, yang luas pemasarannya dan mampu dibeli oleh orang ramai," sambung beliau.
Selain itu, beliau mengharapkan masyarakat umum terutamanya generasi muda terus digalakkan membaca.
Ia sebagai usaha mendapatkan ilmu melalui pendidikan sepanjang hayat yang menjadi satu daripada lapan nilai dalam Gagasan 1Malaysia.
Royalti untuk penulis bahasa MelayuProfesor Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar yang mewakili Gabungan Penulis Nasional (Gapena) turut berpendapat, umumnya ramai rakyat Malaysia yang masih tidak sedar tentang kewujudan Hari Buku.
Menurut beliau, ia tidak disedari berikutan minat membaca yang kurang dan bilangan yang berkunjung ke perpustakaan untuk membaca buku ilmiah juga tidak ramai.
"Selain pembaca yang kurang, apa yang saya perhatikan, jualan buku ilmiah memang agak perlahan. Kalau dapat terjual 2,000 naskhah itu sudah hebat. Contoh lain ialah jualan majalah-majalah ilmiah seperti majalah terbitan DBP, jika dulu, jualannya tinggi dan mendapat sambutan.
"Sekarang kita lihat walaupun golongan cerdik pandai makin bertambah, tetapi jualan buku dan majalah sebegini kian menurun," ulasnya sambil mengakui kewujudan kemudahan ICT juga ialah sntara faktornya.
Bagi Prof Abdul Latif, jumlah pengunjung ataupun keahlian perpustakaan yang ramai masih tidak dapat meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat negara ini. Jika pun ada, ramai yang lebih gemar memilih karya-karya berbentuk pop dan novel remaja.
Sebagai pensyarah di Institut Pengajian Tinggi, beliau turut melihat kurangnya minat membaca dan membeli buku dalam kalangan penuntut.
Beliau turut mencadangkan kerajaan menyediakan insentif kepada penulis buku ilmiah berbahasa Melayu dengan cara pemberian subsidi royalti yang tinggi agar boleh bersaing dengan penerbitan buku ilmiah berbahasa Inggeris.
Dalam kalangan penuntut IPT pula, Dr Abdul Latif menggalakkan kempen kesedaran mengenai Hak Cipta harta intelek secara berterusan dipertingkat agar golongan ini memahami dan menghormati karya penulis tanah air.
Sambutan perpustakaan Pada hari yang sama, beberapa perpustakaan awam lain turut menganjurkan sambutan serupa.
Di Kangar misalnya, sambutan Hari Buku dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis dari 21-27 April. Ia turut diadakan bersempena dengan 10 tahun pemerintahan Raja Perlis dan majlis pelancaran disempurnakan baginda.
Menurut Pengarahnya, Norma Mohd Darus tahun ini ialah tahun ketiga sambutan itu diadakan. Paling mendapat sambutan ialah pendaftaran ahli percuma serta hari bebas denda.
"Pada hari itu, para peminjam yang terlewat memulangkan buku tidak akan dikenakan bayaran denda.
"Perpustakaan Negeri juga mengadakan Program Mari Membaca Bersama untuk kanak-kanak tadika dan sekolah rendah. Selain itu, beberapa perpustakaan pekan dan desa turut mengadakan sambutan yang sama," jelas Norma.
Menurutnya sambutan Hari Buku sejak tiga tahun lalu meningkatkan jumlah pengunjung manakala ahli perpustakaan meningkat hingga 82,000 orang di seluruh Perlis.
Selain Perbadanan Perpustakaan Negeri Perlis, Jabatan Pengurusan Maklumat, Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam (PTAR) juga mengadakan sambutan yang sama dengan objektif membudayakan minat membaca dalam kalangan penuntutnya.
Dalam menangani isu Hak Cipta, PTAR mengadakan taklimat dan sesi perkongsian maklumat berkaitan isu hak cipta dan gejala plagiat kepada pelajar semasa Taklimat Orientasi Pelajar baru dan Kelas Kemahiran Maklumat.
Ia dilaksanakan secara berterusan bagi memberi kesedaran kepada pengguna PTAR untuk menghargai buku dan karya penulis.
Sambutan Hari Buku penting kerana ia merupakan sebahagian daripada aktiviti keilmuan yang sangat berguna dalam membentuk generasi berilmu.
- Bernama