Thursday, May 27, 2010

Adab berdoa


Dari Fadhalah bin Ubaid r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. pernah mendengar seorang yang berdoa, tetapi dia tidak mengucapkan puji-pujian kepada Allah Ta'ala dan tidak pula membaca selawat pada Nabi s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Tergesa-gesa sekali orang ini, kemudian orang itu dipanggilnya. Nabi s.a.w lalu bersabda pada orang itu atau pada orang lain juga: Jikalau seseorang di antara engkau semua hendak berdoa, maka hendaklah memulai dengan mengucapkan puji-pujian kepada Tuhannya yang Maha Suci, selanjutnya membaca salawat kepada Nabi s.a.w. seterusnya bolehlah dia berdoa dengan apa yang dikehendakinya. (HR Termidzi)

--Cina Islam

Friday, May 21, 2010

10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita

6 Jamadil Akhir 1431 H

Oleh: anuarani

"Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" ~Surah Muhammad, ayat 7

"Seandainya engkau menyampaikan keburukan saudaramu, Jika itu benar,maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu, dan jika itu salah, maka engkau sudah melakukan fitnah "

Gunakan seluruh pancaindera

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan yang maha esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi
hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa
yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita
dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara
remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa
kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur.
Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang
berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah,
dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.
Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang
dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini
juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Mimpi
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di
pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

Fikirkanlah. Adakah dia jodoh kita?

--Cina Islam

Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru, Cikgu



Tanggal 16 Mei disambut seluruh Malaysia sebagai Hari Guru. Walaupun kita baru sahaja menyambut hari ibu, hari pekerja, hari jururawat dan juga hari belia namun hari guru perlu diberi lebih perhatian oleh semua pihak. Kenapa? Jawapannya mudah, sebab setiap seorang yang hidup di dunia ini tidak terkecuali daripada dididik oleh guru. Hayati sajak Sasterawan Negara, Usman Awang tentang jasa guru:





GURU OH GURU

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Wednesday, May 12, 2010

Hukum Makan Ketam Batu/ketam nipah


23 Jamadil Awal 1431H.
http://soaljawab.wordpress.com/

Apakah hukum memakan ketam batu? Haram atau makruh?

jawapan:

Apa yg ditanya adalah perihal binatang 2 alam. Setakat pencarian saya, tidak terdapat sebarang dalil yang khusus mengatakan binatang 2 alam itu haram di makan. Persoalannya, bagaimana pula hukum ini boleh keluar apatah lagi ia merupakan qaul yg masyhur dalam mazhab syafi’e sepertimana dinukilkan oleh kitab2 an-Nawawi; Imam Rafi’iy dan al-Ghazali. Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab Hanbali.

Mereka yg mengatakan binatang 2 alam ni haram di makan berdasarkan hadis berikut:

Dr Abdur rahman ibn Utsman menerangkan, “Dihadapan Rasulullah saw seorang tabib memeperagakan semacam ubat dan dia menyebutkan tentang hal katak yg dimasukkan ke dalam ubat itu. Rasulullah saw melarang kita membunuh katak itu.”[HR Ahmad, Abu Daud dan An-Nasa’I]

Hukum ke atas katak ini, kemudian diqiaskan kpd yg hidup sepertimana katak.

Sabdanya lagi, “Airnya,(iaitu laut) menyucikan dan halal bangkainya.”

Hadis di atas merujuk kpd hidupan laut. Adapun binatang 2 alam ini tidak termasuk dalam keterangan di atas kerana mereka juga hidup di darat. Maka berdasarkan firman Allah di bawah, mereka membuat kesimpulan bahawa 2 alam itu haram di makan.

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai,…..”[5:3]

Di samping itu terdapat juga beberapa hadis yg menjelaskan ayat di atas iaitu:

Rasulullah saw bersabda, “Dihalalkan utk kita 2 jenis bangkai dan dua jenis darah; ikan dan belalang, hati dan limpa.”

Ulama’ mengqiaskan ikan itu kpd segala jenis hidupan laut yg hanya tinggal di dalam laut/air. Oleh itu, binatang 2 alam tidak termasuk.

Walaupun begitu, perlu kita ketahui bahawa dalam Islam, Bahawa asal setiap sesuatu ciptaan Allah adalah harus. Ia tidak diharamkan melainkan jika ada nash yang sahih lagi sharih (jelas/tegas) dari syari’ yang mengharamkannya. Jika di sana tidak ada nash yang sahih – seperti ada nash tetapi dengan hadis dha’if – atau nash berkenaan sahih tetapi tidak sharih dalam menunjukkan keharamannya, maka hal ini akan kekal atas sifat asalnya sebagai hal yang diharuskan.

Daripada Abi Darda’, Rasulullah saw bersabda, “Apa yang Allah halalkan di dalam KitabNya, maka ia adalah halal. Dan, apa yang Allah haramkan, maka ia adalah haram. Manakala apa yang didiamkan olehNya, maka ia adalah dimaafkan. Oleh itu, terimalah kemaafan dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan lupa sedikitpun.” Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat: “Dan Tuhanmu tidak pelupa.”(Maryam: 64) (HR Al-Hakim, dan dia mensahihkannya dan dikeluarkan oleh al-Bazzar, dia berkata: Sanad yang baik).

Maka, berdasarkan dalil yg dipakai oleh mereka yg mengatakan binatang 2 alam itu haram, kita dapati tidak terdapat satupun yg khusus menunjukkan ke arah keharamannya. Dalil yg paling hampir ialah mengenai katak. Tetapi berdasarkan kaedah yg telah diutarakan, kalau kita menerima hadis ini menunjukkan keharaman, keharaman itu hanyalah ditujukan kepada katak. Mengqiaskannya kpd semua yg hidup 2 alam itu tidak tepat. Sekiranya kita menerima pendpt haramnya binatang 2 alam, mengapa pula kita boleh memakan ketam/kerang yg pada biasanya dijual di pasar2 dalam keadaan hidup. Bukankah itu membutikan binatang ini mampu hidup di atas darat?

Pendapat yg kuat ialah secara umumnya, binatang 2 alam itu halal. Dia didiamkan syara’. Hanya saja kita perlu ingat, bahawa Islam juga ada menggariskan satu lagi kaedah dalam mengenal pasti halal atau haramnya sesuatu binatang itu, iaitu berdasarkan kpd firman Allah swt:

“Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan karena sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang-terangan bagi kamu.” (al-Baqarah: 168)

“Katakanlah! Aku tidak menemukan tentang sesuatu yang telah diwahyukan kepadaku soal makanan yang diharamkan untuk dimakan, melainkan bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi; karena sesungguhnya dia itu kotor (rijs), atau binatang yang disembelih bukan karena Allah. Maka barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun dan Maha Belas-kasih.” (al-An’am: 145)

Dari ayat di atas, illat kpd keharaman bangkai, darah yg megalir, babi adalah kotor(bolded). Berdasarkan illat ini, kita boleh mengqiaskannya kpd apa2 binatang yg mempunyai illat yg sama dgnnya iaitu kotor. Sebagai cth, sekiranya kita melihat sesuatu binatang itu sememangnya kotor dari segi gaya hidup dan seumpamanya, maka ia menjadi haram. Walaupun begitu, kita perlu ingat, kadang2 uruf dari satu tempat ke satu yg lain itu berlainan. Mungkin pada masyarakat m’sia, binatang itu menjijikkan, ttp pada masyarakat China tidak pula.

Maka, kesimpulannya, setiap apa yg dinyatakan dalam nas yg mengatakan ianya haram, itulah haram. Yg tidak dikatakan haram, maka ia didiamkan syara’. Namun Islam menitikberatkan kebersihan. Tinggalkanlah sesuatu perkara yg dianggap pada dirinya jijik dan kotor. Ttp jgn pula kita menjadi pelik jika ada org yg memakannya di negara lain.Wallahuaklam

Rujukan

Fiqh & Perundangan Islam
Dr Wahbah al-Zuhaily

Koleksi Hadis2 Hukum
TM Hasbi

Al-Halal wal-Haram fi Islam
Dr Yusuf al-Qaradhawi

al-ahkam

--Cina Islam

Monday, May 10, 2010

Blog MP Seri Pinang Dalam Kenangan Jadi Pelengkap


Sekarang aku sedang cuti semester, adalah masa sikit. Melihatkan blog aku yang semakin berserabut, aku mengambil keputusan untuk membuat blog baru khas untuk rakan-rakan point 2 MPSP 92/94 berhubung dan mengetahui perkembangan rakan-rakan. Rakan-rakan dari points yang lain juga boleh memanfaatkan blog ini.


Kewujudan blog ini bukanlah nak bersaing dengan blog lain yang menyediakan kemudahan yang sama seperti blog mpseripinang dan mpseripinangning tetapi menjadi pelengkap kepada blog tersebut.


Semasa berkunjung ke rumah Balqis hujung tahun lepas, kami ada melahirkan hasrat untuk membuat perjumpaan dengan rakan-rakan point 2. Semoga dengan kewujudan blog ini akan menjadi jambatan penghubung antara kita dan akan berjaya menemukan kita.


Saya amat mengalu-alukan rakan-rakan menghantar berita tentang diri dan keluarga masing-masing atau rakan-rakan yang lain agar dapat saya paparkan diblog ini untuk pengetahuan kita semua. Saya sedang mengusahakan paparan alamat dan perkembangan semua rakan point 2. Sekiranya rakan-rakan mempunya maklumat tersebut hubungilah saya.


Bermula dari sekarang berita dan maklumat tentang MPSP tidak akan dipaparkan di blog ini lagi, sebaliknya akan dipapar di blog MP Seri Pinang Dalam Kenangan. Kunjungilah blog MP Seri Pinang Dalam Kenangan di alamat http://mpseripinang9294.blogspot.com/.

Sunday, May 9, 2010

Ibu sejahtera, Malaysia berjaya


24 Jamadil Awal 1431H.
Wanita Pakatan Rakyat

Ibu adalah nadi dalam keluarga yang membentuk masyarakat dan negara. Ibu berperanan besar dalam menentukan corak dan kehidupan generasi mendatang kerana kebiasaannya ibulah insan paling hampir dengan anak-anak yang akan membesar dan kemudiannya juga berperanan dalam membentuk masa depan masyarakat dan negara.

Persekitaran yang mendorong pembentukan ibu-ibu yang sejahtera merupakan asas kepada sesebuah keluarga, komuniti, masyarakat dan negara.

Kegagalan prasarana yang asas itu akan mengakibatkan berbagai negativiti sosial yang merugikan sesebuah negara bukan sahaja dari perspektif sosial tetapi juga ekonomi, kewangan, dan segala aspek pembangunan negara yang berdaya tahan (sustainable development).

Kegagalan membentuk ibu-ibu yang sejahtera akan melahirkan juga generasi yang bermasalah dan merugikan masyarakat dan negara.

Peranan ibu hanya merupakan separuh dari tanggungjawab sepenuhnya terhadap menentukan pembangunan anak-anak, keluarga, masyarakat serta negara. Separuhnya lagi adalah rakan kongsi ibu, iaitu bapa.

Keduanya harus diingati di hari ini sebagai gandingan yang tidak boleh dipisahkan dalam mencapai sebarang agenda pembangunan masyarakat dan negara.

Kedudukan dan peranan keduanya setakat ini hanya di lihat dalam soal mengawal tabiat dan kelakuan anak-anak supaya tidak mengganggu sesuatu acara atau majlis atau memastikan anak-anak mendapat kecemerlangan dalam bidang akademik atau tidak menambah kepada statistik penagihan dadah, gejala lepak, rempitan, dan yang terkini supaya memastikan anak-anak tidak ditembak oleh polis dengan sengaja atau seumpamnya.

Peranan ibu dan bapa tidak diiktiraf secara rasmi dalam bajet negara dan rancangan-rancangan Malaysia, di mana kedua dokumen itu hanya memperakui sektor yang formal yang mempunyai sumbangan RM terhadap pembangunan dan ekonomi negara.

Para ibu dan bapa kini mengharapkan suatu dasar negara yang boleh menyelamatkan kehidupan kekeluargaan, yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak, aset negara yang paling berharga.

Dalam suatu kajian di Amerika, nilai ekonomi penjagaan anak-anak sahaja ialah hampir RM30 bilion, tidak termasuk hal-hal pengurusan rumahtangga yang lain. Dalam ukuran GDP keseluruhan nilai dikatakan melebihi 50% GDP. Fakta tersebut tidak disebut dalam mana-mana dokumen penting kerajaan berkenaan. Sustainable development dan keutuhan sesuatu bangsa dan negara itu adalah bergantung kepada sektor informal yang didokong oleh para ibu khususnya.

Di Hari Ibu tahun 2010 ini, para pemimpin, khususnya dari kalangan Menteri dan ahli-ahli politik diseru untuk menghentikan selaran terhadap ibu dan bapa dalam melaksanakan tugasan mereka mendidik anak-anak kerana sebenarnya kerajaan yang diamanahkan untuk mengatur kehidupan warga Malaysia telah gagal mewujudkan prasarana, persekitaraan dan jentera kerajaan yang bersepadu (integrated) bagi menjamin kehidupan kekeluargaan yang selamat dan sejahtera, mampu menjana dan menghasilkan warga masa depan yang berhemah, bijaksana, amanah, memiliki jati diri yang jitu, berprinsip, berketrampilan, berperi kemanusiaan dan saling bantu-membantu dan berkasih sayang demi kemaslahatan sesama insan dan juga mampu membawa Malaysia ke mercu kejayaan yang boleh menjadi contoh kepada dunia.

Pengukuhan dan kemantapan kehidupan sosial, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia bergantung kepada sejauh mana kerajaan berjaya melaksanakan tuntutan mewujudkan persekitaran dan prasarana yang bersesuaian bagi para ibu agar mereka mampu melaksanakan tugasan mereka di dalam dan di luar rumah serta memberi sumbangan terbaik kepada seluruh aspek pembangunan fizikal, spiritual, intelektual dan ekonomi negara.

Ibu sejahtera, Malaysia berjaya.

Untuk semua ibu tersayang, Selamat meyambut Hari Ibu 2010.

--Cina Islam