Luqman
al-Hakim merupakan insan istimewa yang disebut oleh Allah SWT menerusi
kitabullah, dalam surah Luqman yang berkisar mengenai pelbagai nasihat yang
ditujukan buat anaknya.
Beliau
adalah seorang hamba abdi berkulit hitam yang berasal dari Afrika, iaitu di
negeri Sudan/Habsyah/Nubia (nama tempat yang sama). Sungguhpun begitu, terdapat
pelbagai pendapat mengenai asal usul Luqman al-Hakim.
Menurut
Ibnu Kathir, Luqman adalah seorang lelaki yang soleh, kuat beribadat, suka
memberikan nasihat dan mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa.
Luqman
al-Hakim mendapat gelaran ‘al-Hakim’ dek kerana kebijaksanaan dan butir-butir
hikmah yang sentiasa keluar dari tutur katanya. Menariknya, kisah beliau
menasihati anaknya turut dimuatkan dalam al-Quran. Apakah antara nasihat beliau
kepada anaknya? Berikut dikongsikan;
Nasihat 1 – Tidak Mempersekutukan Allah
“Dan,
ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran
kepadanya, ‘Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya
mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar.”(Surah Luqman
ayat 13)
Nasihat 2 – Berbuat Baik Kepada Kedua Ibu Bapa
“Dan,
Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya.
Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan
menyusukannya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua
orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.”(Surah Luqman ayat 13)
Nasihat 3 – Menolak Ajakan Ibu Bapa Dengan Cara Yang Baik
Jika Bertentangan Dengan Syariat
“Dan,
jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau
tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, dan
bergaullah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali
kepada-Ku. Kemudian, hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahu
kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”(Surah Luqman ayat 15)
Nasihat 4 – Allah SWT Akan Membalas Setiap Perbuatan Kita
Walau Sekecil Zarah
“Wahai
anakku! Sungguh, jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada
dalam batu atau langit atau bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan).
Sesungguhnya, Allah Maha Halus, Maha Teliti.”(Surah Luqman ayat 16)
Nasihat 5 – Melaksanakan Solat, Amar Makruf Nahi Mungkar
Dan Sabar Hadapi Ujian
“Wahai
anakku! Laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang makruf dan
cegahlah (mereka) dari perkara yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa-apa
yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting.”(Surah
Luqman ayat 17)
Nasihat 6 – Tidak Sombong Dan Angkuh
“Dan,
janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah
berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak akan menyukai orang-orang
yang sombong dan membanggakan diri.”(Surah Luqman ayat 18)
Nasihat 7 – Bersederhana Dan Elokkan Percakapan
“Dan,
sederhanakanlah dalam berjalan (tidak terlalu cepat, tidak terlalu lambat) dan
lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya, seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”(Surah
Luqman ayat 19)
Begitulah
7 nasihat penuh hikmah yang diberikan oleh Luqman Al-Hakim buat putera
kesayangannya. Bertuahnya Luqman, ini kerana namanya diabadikan dalam
risalah-Nya dan menjadi tatapan oleh umat Islam sepanjang zaman.
Bahkan,
nasihat yang diungkapkan kepada puteranya ini turut menjadi pengajaran dan
panduan berguna buat para ibu bapa dalam mendidik anak-anak pada masa kini.
Diharapkan
semoga perkongsian yang sedikit ini memberi kebaikan kepada para pembaca
seterusnya menerapkan nasihat ini dalam pembentukan diri anak-anak. Moga kita
sentiasa dilindungi daripada sebarang kejahatan, serta dianugerahkan maghfirah
dan rahmat dari Allah SWT. InsyaAllah. Amin. Wallahua’lam.
“Tidak
ada sesuatu pun yang lebih baik daripada lidah dan hati apabila ia digunakan
dengan baik. Dan, tidak ada yang lebih buruk daripada lidah dan hati apabila
digunakan dengan cara yang tidak baik.”(Kata Mutiara Luqman al-Hakim)