Friday, September 6, 2013

Antara air dan minyak

 DR AMINUDIN MANSOR

Air dan minyak kedua-duanya nikmat anugerah ALLAH. Jika tidak diurus dengan betul kedua-dua nikmat ini akan bertukar menjadi bala dan malapetaka yang menyukarkan kehidupan kita seharian.

Terbaru lebih sejuta penduduk dan pengguna air di Lembah Klang mengalami masalah gangguan bekal air. Empat loji rawatan air (LRA) yang diuruskan oleh Puncak Niaga Holdings Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) di Selangor terpaksa dihentikan sementara operasinya akibat tumpahan minyak diesel yang berlaku di hulu sungai sekitar kawasan Rawang.

Operasi empat loji yang terjejas terpaksa dihentikan sementara. Ini kerana tumpahan diesel yang dipercayai berpunca daripada sebuah bengkel menyebabkan pencemaran sumber air kepada empat loji berkenaan.

Penutupan sementara operasi ini telah menjejaskan bekalan air kepada 240,000 akaun atau hampir sejuta orang pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya terjejas. Banyak restoran terpaksa menyimpan bekalan air, begitu juga rumah terbuka dan majlis kenduri terpaksa ditangguhkan.

Tidak lama selepas itu hujan lebat yang mencurahkan air melanda beberapa kawasan di Selangor dan menyebabkan beberapa buah rumah di Subang Jaya mengalami banjir kilat apabila air tidak dapat mengalir ke longkang dengan lancar. Air dan minyak memanglah nikmat ALLAH yang seharusnya diurus dengan cermat dan teliti.

Begitulah bahana apabila air dan minyak bercampur. Jika sesekali difikirkan sebagai pengguna kita sewajarnya bertanggungjawab menjaga kebersihan sungai, tidak membuang sampah-sarap ke longkang dan tidak membuang minyak atau bahan-bahan yang boleh mencemarkan kehidupan kita ke sungai.

Berita terbaharu harga RON 95 dan diesel naik 20 sen. Ini dikatakan kerajaan dapat menjimatkan RM1.1 bilion peruntukan kewangan negara tahun ini, seterusnya membolehkan dana tersebut disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Pengurangan subsidi minyak juga dikatakan sebahagian daripada langkah menstrukturkan semula dasar fiskal negara bagi memastikan pengukuhan ekonomi negara dalam jangka pendek dan sederhana.

Bagi mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah akibat rasionalisasi subsidi itu, kerajaan akan meningkatkan pemberian BR1M yang mana jumlahnya akan diumumkan dalam Bajet 2014 nanti.

Terdapat pandangan pro dan kontra. Ada yang mengatakan kenaikan harga minyak akan menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja dan tidak menggunakan satu kenderaan seorang ke tempat kerja. Di samping itu, akan menggalakkan orang ramai supaya berjimat dalam penggunaan minyak.

Manakala ada pandangan yang mengatakan kerajaan harus mengawal dengan tegas kenaikan harga barang akibat kenaikan harga minyak. Kerajaan mesti mengawal dengan tegas dan memantau harga barang. Bagi para peniaga pula jangan mengambil kesempatan menaikkan harga barang makanan sewenang-wenangnya akibat kenaikan harga minyak.

Justeru, kenaikan harga minyak itu bermakna pengguna perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih kerana walaupun ia hanya 20 sen bagi setiap liter, ia tetap memberi kesan yang besar dan terasa kepada pengguna dalam jangka panjang jika dikumpulkan.

Ramai yang bersungut, walaupun harga minyak naik, gaji pekerja masih pada tahap sama dan ini akan menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan lain untuk menambah kepada perbelanjaan membeli minyak dan barang makanan.

Berkaitan dengan nikmat air dan minyak ini seharusnya kita menggunakannya dengan sebaik-baiknya dan berhemat. Nabi SAW bersabda: “Apabila ALLAH memberikan kenikmatan kepada hamba-Nya, maka ALLAH suka agar kenikmatan-Nya itu tampak pada diri (hamba-Nya).” (Riwayat Ath Thabrani).

Justeru, ada pandangan yang mengatakan, kita tidak pernah menghargai nikmat air dan minyak sampai sumur dan sungai serta lautan menjadi kering.

http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/antara-air-dan-minyak-1.199265

No comments:

Post a Comment