Tuesday, August 18, 2009

Puasa Lindungi Mulut dan Gigi


oleh Dr. Badiah Baharin

Kelebihan dan keistimewaan Ramadan sering dilihat bersifat kerohanian, tetapi sebenarnya ia juga mempunyai banyak fadilat daripada sudut kesihatan.

Banyak kajian membuktikan berpuasa antara langkah terbaik untuk menurunkan berat badan, kandungan glukosa (gula) dan lemak dalam darah serta tekanan darah tinggi. Malah, Ramadan memberi peluang kepada sistem pencernaan untuk berehat selepas bekerja selama 11 bulan.

Berpuasa juga dapat mempertingkatkan mutu kesihatan mulut serta memupuk tabiat baik ke arah penjagaan gigi dan gusi. Penjagaan kesihatan mulut selalu dipandang remeh sehingga ramai pesakit menanggung kesakitan akibat kerosakan gigi mahupun gusi.

Ramai pesakit mengambil jalan mudah dengan hanya mencabut gigi apabila mengalami kesakitan. Kehilangan satu anugerah Ilahi yang tidak terperi ini bukan mudah dan murah untuk diganti dengan sesuatu yang seumpamanya. Justeru, pencegahan penyakit pergigian selalu ditekankan supaya rawatan masalah membabitkan gigi tidak menjadi rumit.

Perlindungan Gigi Semasa Puasa

Langkah pencegahan sebenarnya boleh diamalkan ketika berpuasa. Contohnya, bagi penyakit karies atau gigi berlubang, kajian menunjukkan apabila manisan dalam bentuk karbohidrat ringkas kerap didedahkan kepada permukaan gigi, kesan pereputan mineral gigi menjadi semakin besar.

Apabila seseorang itu berpuasa, gigi terlindung 14 jam daripada kesan manisan. Ia hanya berlaku ketika berbuka puasa apabila manisan dalam juadah dan makanan mula diambil.

Walaupun kita disunatkan memakan makanan manis seperti tamar atau buah-buahan ketika berbuka, kita perlu ingat supaya sentiasa bersederhana, terutama dalam soal makan.

Memperbanyakkan amal ibadat sunat seperti solat tarawih dan bertadarus sedikit sebanyak dapat mengawal kekerapan umat Islam untuk makan, terutama pengambilan makanan atau minuman manis. Ia dapat mengurangkan kekerapan pendedahan manisan ke atas permukaan gigi dan proses kerosakan gigi.


Elak Rokok

Pengambilan makanan dan minuman manis mesti dikawal ketika berbuka. Bagi perokok, jangan cari rokok sebagai 'pelengkap' berbuka.

Selain menjadi sebab utama kepada lebih 10,000 kematian setahun di negara kita, merokok sebenarnya memberi kesan negatif kepada kesihatan mulut seperti pertukaran warna kepada permukaan gigi dan nafas berbau.

Mengikut kajian, tidak ramai tahu perokok juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat barah mulut dan penyakit gusi (periodontitis). Penyakit gusi mengakibatkan gusi menjadi radang dan kehilangan sokongan gigi pada soketnya.

Kesan sistemik kepada tubuh badan apabila merokok ternyata berkurangan dan perokok berjaya menahan daripada ketagihan nikotin selama 14 jam ketika berpuasa. Perokok sepatutnya mengambil peluang pada Ramadan untuk membentuk hidup lebih positif dengan mengurang atau memberhentikan tabiat merokok.

Kesan berhenti merokok terbukti ada banyak kelebihan daripada segi memulihkan penyakit gusi dan pencegahan barah mulut.


Mulut Berbau

Merokok memberi kesan buruk kepada kesihatan mulut. Masalah mulut berbau adalah perkara biasa ketika berpuasa.

Apabila berpuasa atau berlapar, badan membakar lemak untuk penghasilan tenaga dan ini mengakibatkan pembebasan aseton melalui nafas yang memberi bau kurang menyenangkan.

Mulut juga bertambah kering ketika berpuasa. Bagaimanapun, ia tidak perlu dibimbangkan, malah ia satu kelebihan bagi orang berpuasa sebagaimana disebut dalam hadis diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim : 'Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada harum kasturi.'

Namun mulut tambah berbau dan kurang menyenangkan apabila mulut menjadi terlalu kering, kurang bersih dan memakan makanan berbau ketika berbuka atau bersahur. Mulut kering mengakibatkan sel mati di dalam mulut terkumpul pada permukaan lidah dan gigi menyebabkan mulut berbau.

Kebersihan mulut yang tidak baik disebabkan terdapat sisa makanan dan plak yang terkumpul pada permukaan dan celah gigi. Sisa makanan dan plak bertindak balas dengan bakteria dan menghasilkan gas berbau (sulfur).

Makanan seperti rempah-ratus dan bawang putih boleh mengakibatkan mulut berbau jika diambil berlebihan ketika berbuka mahupun bersahur. Justeru, untuk nafas lebih menyenangkan, mengurangkan masalah kerosakan gigi dan meningkatkan kesihatan mulut, amalan berikut boleh membantu.

# Memberus gigi secara menyeluruh dengan lebih efektif sebelum tidur dan selepas bersahur
# Menggunakan flos untuk membuang plak dan sisa makanan antara celah gigi
# Bersihkan gigi palsu dengan baik
# Banyakkan minum air sewaktu berbuka dan bersahur
# Pastikan gigi berlubang ditampal
# Mengawal kuantiti dan kekerapan pengambilan minuman dan makanan manis

Memberus Gigi Amalan Rasulullah SAW

Peluang menambah pahala sentiasa terbuka sepanjang Ramadan apabila kita mengamalkan sunnah Rasulullah SAW iaitu sentiasa bersugi (membersihkan gigi).

Sudah pasti apabila ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih, bertadarus dan bertahajud pada malam hari, disunatkan memberus gigi sebagai sebahagian penjagaan kebersihan diri sebelum menunaikan ibadat.

Rawatan Gigi

Rawatan gigi boleh dilakukan ketika berpuasa tanpa perlu berbuka jika tiada bahan luar ditelan selain air liur. Pemberian ubat bius setempat juga tidak membatalkan puasa seseorang. Sungguhpun demikian, ramai orang lebih selesa untuk mengelak menerima rawatan pada Ramadan untuk menjaga kesempurnaan puasa mereka.

Namun, kita digalakkan sentiasa memastikan mulut dan gigi dalam keadaan baik sebelum menghampiri Ramadan.

Berjumpa doktor gigi dengan kerap secara tidak langsung memberi kesan penjagaan kesihatan gigi yang baik dan pencegahan penyakit gigi serta mulut.

Semoga Ramadan menjadi tapak latihan untuk kita meningkatkan amal ibadat, di samping memelihara tabiat baik penjagaan kesihatan mulut yang dibentuk sepanjang Ramadan seperti mengawal dan mengehadkan pengambilan makanan dan minuman manis serta membersihkan gigi setiap kali selepas makan dapat diteruskan sepanjang tahun.

No comments:

Post a Comment