Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sebagaimana yang telah maklum kalendar Islam telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a. Beliau dan para sahabat telah memutuskan untuk meletakkan tarikh permulaan kalendar Islam ini pada tahun di mana Nabi s.a.w. dan para sahabatnya berpindah dari Mekah yang dikuasai oleh golongan musyrikin ke Madinah kerana begitu pentingnya peristiwa tersebut terhadap kejayaan dakwah Islam. Namun Maal Hijrah yang muncul setiap tahun hanya dilihat sebagai sambutan kedatangan tahun baru bagi umat Islam. Kebanyakkan umat Islam gagal menghayati semangat hijrah sebenar yang pada hakikatnya dapat memberi kesan yang begitu besar terhadap umat Islam.
Hijrah dari segi bahasa bermaksud meninggalkan atau berpindah. Dari segi istilah hijrah memiliki dua makna.
PERTAMA ia bermaksud berpindah dari negeri syirik menuju ke negeri Islam. Hijrah dalam erti ini adalah sebagaimana hijrah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad dan para sahabatnya yang meninggalkan kampung halaman mereka di Mekah menuju ke Madinah. Ada yang berpendapat dengan berakhirnya penghijrahan tersebut maka tidak ada lagi hijrah setelah itu. Perkara ini dapat disangkal dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Hijrah tidak akan terputus sampai taubat terputus dan taubat tidak akan terputus sehingga matahari terbit dari barat.” – Hadis riwayat Abu Dawud no 2120
Oleh itu bagi umat Islam yang bermastautin di negara yang dikuasai oleh orang kafir dan tidak berupaya untuk mengamalkan agamanya malah ditindas maka diwajibkan baginya untuk berpindah ke negara Islam yang lain sekiranya memiliki kemampuan. Dalil yang mewajibkan hijrah sebegini adalah firman Allah S.W.T.: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” – al-Nisaa’ : 97
Tetapi hijrah sebegini tidak diwajibkan bagi mereka yang tidak memiliki kekuatan dari segi fisikal mahupun ekonomi untuk berpindah. Firman-Nya: “Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” – al-Nisaa’ : 98-99
KEDUA, hijrah bermaksud meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah menuju kepada yang diperintahkan-Nya. Sabda Nabi s.a.w.: “Seorang Muslim adalah seseorang yang kaum Muslimin selamat dari gangguan lisan dan tangannya dan seorang muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 6484
Imam Ibnul Qayyim r.h mengistilahkan hijrah seperti ini sebagai hijrah dengan hati menuju Allah dan Rasul-Nya. Apabila kita membicarakan tentang hijrah menuju Allah maka ia sebenarnya merupakan tuntutan kalimah pertama dalam syahadah kita iaitu Laa ilaaha illa Allah. Maka hijrah dalam hal ini menuntut kita untuk mengikhlaskan segala amal ibadah kita hanya kepada Allah. Hendaklah kita meninggalkan segala amalan-amalan yang berunsur syirik dan menyemai benih-benih tauhid kepada seluruh umat Islam. Kita harus mempertingkatkan usaha untuk membersihkan umat Islam dari perkara-perkara yang dapat mencemari aqidah umat Islam. Segala perkara khurafat, tahyul dan syirik harus dibanteras sehingga ke akar umbi. Di antara amalan-amalan yang mencemari aqidah yang masih berleluasa di kalangan umat Islam di Malaysia adalah kebergantungan kepada bomoh, memakai tangkal serta azimat, berdoa kepada selain daripada Allah, bertawakal kepada selain daripada Allah, bertawassul kepada kuburan-kuburan yang dianggap keramat, menyakini ramalan-ramalan tukang ramal dan banyak lagi.
Manakala hijrah menuju kepada Nabi s.a.w. adalah proses untuk menerapkan konsep Ittiba’ al-Rasul iaitu satu upaya untuk mencontohi baginda s.a.w., mengikuti jejaknya dan menjadikannya sebagai contoh teladan yang baik. Apabila kita membicarakan tentang hijrah menuju Rasul, ia sebenarnya merupakan tuntutan kalimah ke dua dalam syahadah kita iaitu Muhammadur Rasulullah.
Ittiba’ dari segi syariat bermaksud mencontohi Nabi s.a.w. dalam hal-hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, dakwah, politik, syariat dan muamalah dengan beramal seperti amalannya menurut cara yang baginda lakukan baik dalam perkara yang diklasifikasikan sebagai wajib, sunat, harus, makruh mahupun haram dengan disertai niat dan kehendak di dalamnya untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Untuk kita lebih memahami konsep ittiba’ mari kita melihat kaedah-kaedah yang membelakanginya:
a) Agama Islam adalah agama yang ilmiah. Ianya ditegakkan di atas dasar dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ianya bukan satu agama yang didirikan menurut rekaan akal manusia dengan sewenang-wenangnya.
b) Hendaklah kita pastikan kesahihan sesuatu perkara berkaitan dengan hukum-hukum Islam sebelum kita mengamalkannya. Oleh itu setiap amal ibadah yang tidak didirikan atas dalil-dalil yang sah maka ianya terbatal. Ini sebagaimana sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 2697
c) Ittiba’ al-Rasul ialah mengamalkan segala yang dibawa oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Jika baginda s.a.w. telah menetapkan sesuatu hukum maka tidak boleh sesiapapun yang menentangnya atau mengutamakan pandangan orang lain melebihi perintah baginda tersebut.
d) Apa juga bentuk-bentuk peribadatan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak pernah dikerjakan oleh baginda padahal ianya boleh diamalkan pada masa baginda masih hidup, maka mengerjakannya adalah bidaah dan meninggalkannya adalah sunnah. Ini adalah kerana Islam telah sempurna sebelum baginda wafat. Sekiranya sesuatu ibadah itu tidak wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. dan ianya dianggap bukan sebahagian dari agama semasa itu maka sehingga kini ibadah itu juga dianggap tidak termasuk sebahagian dari Islam. Imam Malik r.h berkata: “Sesiapa yang membuat bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w. mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu.” (al-Maaidah (5) : 3) Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini.” – Diriwayatkan oleh Imam al-Syathibi di dalam al-I’tishom, jilid 1, ms. 49.
e) Segala perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian manusia telah diperjelaskan oleh syariat. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T.: “Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” – al-Nahl (16) : 89
f) Syarat-syarat berkaitan ittiba’ adalah seperti berikut:
1) SEBAB: Setiap ibadah yang dihubungkaitkan dengan sesuatu sebab yang tidak disyariatkan oleh Allah S.W.T. maka ianya termasuk dalam perkara bidaah dan tertolak. Sebagai contohnya berpuasa sempena dengan Mawlid Nabi. Puasa pada asalnya adalah ibadah, namun tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa berpuasa pada tanggal 12 Rabiulawal itu adalah sunat, maka mengkhususkan hari tersebut dengan berpuasa tidak termasuk dalam amalan sunnah.
2) JENIS: Setiap ibadah yang dikerjakan memerlukan untuk menggunakan sesuatu jenis barang maka hendaklah jenis barang tersebut bertepatan dengan syarak. Sebagai contohnya menyembelih ayam sebagai haiwan korban pada hari raya Aidiladha adalah bidaah. Ini adalah kerana haiwan yang dibolehkan untuk disembelih sebagai ibadah korban adalah unta , lembu, kambing dan biri-biri.
3) KADAR: Setiap ibadah yang mempunyai kadar tertentu yang ditetapkan oleh syarak maka hendaklah kita menepati kadar tersebut tanpa menambahi mahupun menguranginya. Sebagai contohnya bilangan rakaat solat subuh adalah 2. Oleh itu menambahkannya menjadi 3 rakaat adalah bidaah.
4) TATACARA: Kita juga hendaklah menuruti tatacara yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya bagi sesuatu ibadah. Sekiranya kita menambahi atau mengurangi sesuatu perbuatan mahupun bacaan yang tidak dibenarkan oleh syarak dalam solat secara sengaja maka solat tersebut terbatal.
5) WAKTU: Kita juga hendaklah menepati waktu yang telah ditetapkan oleh syarak bagi sesuatu ibadah. Sebagai contohnya menyembelih haiwan korban sebelum mengerjakan solat hari raya Aidiladha membatalkan ibadah korban tersebut.
6) TEMPAT: Kita hendaklah mematuhi penetapan tempat untuk mengerjakan sesuatu ibadah tertentu seperti yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Ibadah haji hendaklah dikerjakan ditempat-tempat yang telah ditetapkan di Makkah dan kawasan sekitarnya. Oleh itu mengerjakan ibadah haji di Malaysia adalah terbatal.
g) Apabila seseorang itu mengerjakan sesuatu ibadah ianya hendaklah di atas dasar kepatuhan secara total kepada Allah dan Rasul-Nya baik hikmah yang membelakangi ibadah tersebut diketahui mahupun tidak. Sebagai contoh bagi pengharaman daging babi hendaklah kita mematuhinya tanpa perlu kita mengetahui terlebih dahulu kajian saintifik tentang bahaya daging tersebut terhadap kesihatan manusia. Ini bukan bermakna kita langsung tidak dibenarkan mencari hikmah disebalik perintah Allah S.W.T. kerana terdapat banyak anjuran di dalam al-Qur’an untuk memikirkan hikmah disebalik kejadian seluruh alam semesta, akan tetapi kita tidak perlu untuk memaksa diri untuk mencari hikmah-hikmah tersebut. Kita tetap perlu menuruti perintah Allah dan Rasul-Nya walaupun hikmahnya tidak dapat dicapai oleh akal kita.
Sekiranya konsep ittiba’ ini difahami serta diamalkan dengan bersungguh-sungguh maka ianya dapat memberikan manfaat yang amat besar kepada seluruh umat Islam. Manfaat mengamalkan ittiba’ adalah seperti berikut:
a) Ittiba’ merupakan suatu perbuatan yang membangkitkan kecintaan Allah S.W.T. terhadap hamba-Nya serta menghapuskan dosa-dosa. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” – Aali Imraan (3) : 31
b) Mereka yang menyanggahi seruan untuk ittiba’ temasuk di dalam golongan orang-orang kafir. Firman Allah S.W.T.: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.” - Aali Imraan (3) : 32
c) Mengamalkan ittiba’ membuktikan kekukuhan iman seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” – al-Nisaa’ (4) : 65
d) Menolak untuk berittiba’ akan menyebabkan seseorang itu ditimpa azab yang pedih daripada Allah S.W.T.. Firman-Nya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” – al-Nuur (24) : 63
e) Ittiba’ boleh mendatangkan rahmat Allah serta kebahagian di akhirat. Firman Allah S.W.T.: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” – al-Ahzaab (33) : 21
f) Menolak untuk berittiba’ membuka pintu kesesatan terhadap seseorang. Firman Allah S.W.T.: “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” – al-Ahzaab (33) : 36
g) Ittiba’ menyebabkan seseorang itu masuk syurga. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan.” Para sahabat bertanya: “Siapa yang enggan?”Rasulullah menjawab: “Barangsiapa yang taat kepadaku maka dia masuk syurga dan barangsiapa yang durhaka kepadaku maka dialah yang enggan.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 7280.
h) Ittiba’ merupakan syarat sah untuk sesuatu amal ibadah itu diterima Allah S.W.T. Para Ulamak ahli sunnah wal jamaah telah menetapkan satu kaedah asas dalam menentukan sama ada amal ibadah kita diterima atau ditolak oleh Allah. Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah. Kaedah yang dimaksudkan oleh penulis adalah amal ibadah tersebut hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana Allah dan mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w..
Oleh itu sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini marilah kita berusaha untuk menerapkan konsep hijrah yang sebenar agar ianya memberi satu manfaat yang besar dalam hidup setiap umat Islam.
--Cina Islam
No comments:
Post a Comment