Email dari HJ Ibrahim Pulau Tige
AYAT Kursi diturunkan setelah hijrah. Ketika ayat ini diturunkan, ia diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka.
Nabi Muhammad saw segera memerintahkan Zaid Sabit menulis serta menyebarkannya.
Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardu, pagi dan petang, keluar masuk rumah atau hendak musafir, insya-Allah akan terpelihara dirinya daripada godaan syaitan, kejahatan manusia dan binatang buas yang akan memudaratkan.
Ia bukan saja melindungi dirinya sendiri, bahkan keluarga, anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah.
Mengikut keterangan kitab ‘Asraarul Mufidah’, sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali, maka akan dibukakan dadanya dengan pelbagai hikmah. Begitu juga dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh hingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara dia daripada segala bencana dengan izin Allah.
Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, insya-Allah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.
Fadilat ayat Al-Kursi mengikut hadis, Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya.”
Sabda Baginda lagi: "Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar."
Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah seperti Dia memelihara Nabi Muhammad.
Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan.
Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.
Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar.
Jika anda berpindah ke rumah baru, maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin.
Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan dua malaikat memeliharanya hingga subuh.
Barang siapa membaca ayat Al-Kursi pada akhir setiap sembahyang fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.
Barang siapa membaca ayat Al-Kursi pada akhir setiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut.
Barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah di sekitarnya.
Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.
No comments:
Post a Comment