GENERASI muda perlu dididik bukan saja cemerlang dari segi pendidikan juga kepentingan sahsiah diri.
Generasi muda perlu diajar adab bertutur sejak kecil
BUKAN mudah mendidik insan menjadi santun, tidak semudah menyampaikan ilmu di dalam bilik kuliah. Kalaupun boleh diajar, ia tidak cukup sekadar memberitahu, tetapi mesti dibimbing dan dilatih selain memerhati dan menghayati budaya dan adab diamalkan orang sekeliling.
Selain itu kehendak dan keinginan seseorang membina sahsiah diri akan memudahkan pembentukan akhlak mulia kerana perubahan yang berlaku kerana ikhtiar sendiri lebih bermakna berbanding usaha dilakukan orang lain.
Kita maklumi bahawa setiap ibu bapa mendidik anak sedari kecil menjadi orang yang berbudi bahasa dan bersopan santun. Orang yang merendah diri dan berhemah tinggi lebih mudah membimbing anak menjadi insan yang luhur hatinya kerana proses tarbiyah itu berlaku bukan hanya secara lisan, tetapi juga berterusan kerana ibu bapa menjadi mentor yang paling dekat di hati anak untuk dicontohi.
Teladan diperoleh sejak awal proses pentarbiayahan sangat memberi makna kepada ingatan anak. Kata-kata yang baik didengari dari ibu bapa menjadi ikutan yang sebati dalam diri mereka, sekali gus membina asas komunikasi yang lembut dan santun dalam diri seseorang.
Begitu juga jika sebaliknya, sumpah seranah, umpat keji dan maki hamun yang menjadi 'ulam' bicara sejak anak mula mengenali dunia menjadikan mereka terikut dengan kata sedemikian, malah tidak pula merasai satu kehinaan apabila keaiban saudara mukmin yang lain dijadikan topik bicara, malah berbangga menjadi penyampai namimah, atau adu domba.
Perantaraan komunikasi yang tiada batasan pada hari ini memungkinkan banyak budaya dan adab bertutur kata boleh dicontohi. Sebaik-baik bicara dari lidah ibu bapa dan guru yang didengari secara langsung mendidik golongan pelajar mencontohi tutur bicara yang baik, tetapi ia tidak menjamin seseorang itu terus istiqamah dalam zon yang baik jika masyarakat atau orang sekeliling menunjukkan teladan kata yang tidak molek.
Ia menjadi satu cabaran yang besar kepada setiap ibu bapa dan pendidik pada hari ini untuk menunjukkan teladan yang baik kerana pada masa sama segelintir pelajar atau golongan muda sangat mudah terpengaruh dengan budaya hidup samseng, pembawaan cara 'moden' yang mengikut arus, sehingga mengetepikan adab sopan dalam pergaulan dan perkataan.
Hakikatnya, seseorang yang memahami ajaran Islam tidak akan menjadikan kemampuan 'berkata-kata' yang dianugerahkan Allah SWT untuk mencaci dan mencela orang lain. Bahkan mengerti bahawa perbuatan itu adalah satu bentuk kefasikan yang akan merosakkan peribadi seorang Muslim yang menghambakan diri kepada Allah SWT, sebagaimana hadis Rasulullah SAW disepakat yang diriwayatkan Abdullah bin Mas'ud RA mafhumnya: "Mencela orang Muslim adalah kefasikan dan membunuhnya adalah kekufuran".
Adat kebiasaan menjadikan manusia alah pada bisanya. Sesuatu perkara yang aneh akan menjadi biasa jika dilakukan setiap hari, begitu jugalah perbuatan keji dan tutur kata kotor. Allah tidak menyukai orang yang melakukan perbuatan keji dan berkata jelik kerana ia menggambarkan bahawa hati dan perasaan makhluknya tidak mendapat hidayah rabbaniyah yang sepatutnya terbenam di dalam benak setiap orang Islam.
Meneladani Rasulullah yang baik dalam perbuatan dan ungkapan tentulah idaman setiap umat baginda termasuk kita. Baginda tidak pernah menyakitkan hati orang lain ataupun mencemarkan kehormatannya dengan tutur kata yang tidak sopan walaupun terhadap musuhnya dan musuh Allah SWT. Ia sesuai dengan tujuan baginda diutuskan ke dunia, iaitu sebagai rahmat ke atas sekalian alam dan bukan sebaliknya. Anas bin Malik r.a mengatakan bahawa Rasulullah tidak pernah memaki hamun, berkata-kata kotor atau mengherdik. Ketika hendak menegur, Baginda hanya mengatakan "Semoga dia memperbanyakkan sujud." (Hadis Riwayat Bukhari)
Bahkan Abu Hurairah RA pernah meminta Rasulullah melaknati orang Musyrik, tetapi Baginda Rasulullah menjawab yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutus bukan sebagai pelaknat, tetapi aku diutus sebagai rahmat." (Hadis Riwayat Muslim)
Generasi muda hari ini perlu disedarkan berlemah lembut sesama insan, sama ada dalam perlakuan atau perkataan supaya akhlak Islam tidak dipersenda dan ditertawa.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
--Cina Islam
No comments:
Post a Comment